Oleh: SHAZRYN MOHD. FAIZAL LAKONAN dan penghayatan Melissa Saila (kanan) sebagai Norizan sememangnya cukup cemerlang. SETELAH hampir tiga setengah bulan memerah keringat dan ‘bertempur’ di medan latihan, nampaknya penerbit eksekutif Enfiniti Productions Sdn. Bhd. (EPSB), Datin Seri Tiara Jacquelina boleh menarik nafas lega. Mengapa? Ini kerana teater muzikal kedua terbitannya, P.Ramlee the Musical…The Life, The Loves & The Inspiration (PRM) yang pertama kali membuka tirainya malam Jumaat lalu mendapat sambutan hangat apabila Panggung Sari di Istana Budaya penuh sesak dengan penonton yang hadir untuk menyaksikan pementasan mega itu. Saat ditemui selepas pementasan tersebut berakhir, Tiara dengan terujanya memberitahu, dia sendiri tidak menyangka sambutan yang diberikan oleh penonton terhadap PRM apatah lagi disaat umat Islam masih lagi berada dalam mood Aidilfitri. “Walaupun sebelum pementasan pertama ini membuka tirainya, saya bersyukur kerana kesemua 20,400 keping tiket untuk pementasan sehingga 3 November nanti sudah habis dijual. Ini cukup menggembirakan saya dan ternyata ini satu khabar gembira buat industri seni tanah air khususnya dalam penerbitan teater muzikal tempatan,” katanya ceria. Apabila diajukan soalan sama ada tidak gentarkah dia jika penonton yang hadir menyaksikan PRM kelak akan membandingkan pementasan itu dengan teater fenomenanya, Puteri Gunung Ledang the Musical (PGLM), Tiara dengan pantas memberitahu sambil memohon agar dua teater muzikal itu tidak dibandingkan. “Dua teater ini berbeza baik dari segi produksi, jalan cerita, muzik mahupun rekaan set pentasnya. Rasanya tidak perlu untuk dibuat perbandingan. Pinta saya kepada mereka yang akan hadir kelak, tontonlah PRM dengan hati dan minda yang terbuka,” katanya lagi. Tiara turut menjelaskan, EPSB akan mengeluarkan album mini PRM nyanyian pelakon pementasan itu selewat-lewatnya minggu hadapan. PRM membariskan pelakon dan penyanyi handalan negara seperti Sean Ghazi yang memegang watak sebagai P.Ramlee, Liza Hanim (Saloma), Atilia (Junaidah), Melissa Saila (Norizan) serta penampilan istimewa penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza sebagai cinta pertama P.Ramlee, Azizah. Setelah menyaksikan PRM, apa yang boleh dikatakan, pementasan yang mengangkat kisah hidup, cinta dan karier seni seniman agung negara itu cukup cemerlang dari segi rekaan set pentas yang diilhamkan serta direka oleh Raja Maliq itu. Malah, keseluruhan set yang ditampilkan berjaya menghidupkan kembali zaman kehidupan P.Ramlee serta dunia seniman agung itu. Bukan itu sahaja, malah muzik yang ditampilkan juga cukup berkesan dan berjaya menghidupkan perjalanan teater muzikal yang berlangsung selama tiga jam itu. Ternyata percaturan EPSB mengambil maestro muzik terkenal Indonesia, Erwin Gutawa sebagai pengarah muzik memang tepat. Sentuhan Erwin Gutawa yang diiringi bersama orkestra seramai 40 orang itu juga memberi kesan yang mendalam terhadap penonton. Apatah lagi dengan susunan muzik yang segar untuk lagu-lagu P.Ramlee serta lagu-lagu baru ciptaan Dick Lee dan Adlin Aman Ramlie yang buat pertama diperdengarkan sememangnya menarik dan mampu memikat penonton terutama lagu Mulanya Cinta (Siti Nurhaliza) serta Lihatlah Dia dan Janji Yang Hilang (Atilia). Dari segi lakonan pula, kesemua pelakon berjaya menghidupkan watak masing-masing terutama Melissa Saila yang ternyata membawakan watak Norizan dengan cukup berkesan dan begitu bergaya sekali. Watak bekas Sultanah Perak itu didukung Melissa dengan baik dan cemerlang. Mungkin kerana darah seni yang mengalir di dalam dirinya membuatkan anak seniwati Mariani itu tidak mempunyai masalah menghayati watak Norizan. Begitu juga dengan Liza Hanim yang sememangnya jelmaan Saloma dan apatah lagi dengan suaranya yang lemak merdu itu. Gaya dan lakonan manjanya itu sememangnya persis Biduanita Negara itu. Bagi Siti Nurhaliza pula, meskipun dia hanya muncul sebagai penampilan istimewa sahaja, watak Azizah memang untuk dirinya. Bakat lakonannya memang boleh digilap dan Siti mampu untuk bergelar pelakon. Malah, lagu Mulanya Cinta juga dipersembahkan dengan cukup baik dan memukau olehnya. Atilia juga memberikan persembahan lakonan yang baik sebagai Junaidah dan teater muzikal amat sesuai dengan dirinya yang mempunyai suara yang lunak dan manja itu meskipun nampak agak gugup di atas pentas. Bagi Sean Ghazi pula, teater muzikal adalah makanan buat dirinya kerana nyanyian dan tariannya tidak boleh dipertikaikan lagi. Namun, dari segi lakonan, Sean boleh mempertingkatkan lagi persembahannya demi untuk menyakinkan penonton. Cuma yang peliknya, ke manakah ‘hilangnya’ dialek Pulau Pinang saat P.Ramlee di tanah kelahirannya sebelum berhijrah ke Singapura? Dikhabarkan, seorang jurulatih bahasa telah ditugaskan untuk membantu Sean dalam hal ini tetapi tidak pula kedengaran bahasa utara itu diucapkan oleh Sean Ghazi. Dari mula hingga habis, kedengaran sama sahaja. Tidak mengapa. Ini boleh dimaafkan kerana baru pementasan pertama dan mungkin juga Sean Ghazi agak gementar di atas pentas. Masih ada lagi 17 persembahan yang akan berlangsung dan masing-masing mempunyai masa yang cukup untuk memperbaiki kelemahan yang ada. Bagi mereka yang sudah pun membeli tiket dan teruja untuk menyaksikan PRM nanti, tontonlah dengan hati dan minda yang terbuka. Hayati dan nikmatilah pementasan itu tanpa sebarang prejudis! sumber: utusan malaysia |