Oct
21
    
Posted (admin) in Datuk K, utusan malaysia online, Personal Siti, Career on October-21-2007

Oleh: TENGKU KHALIDAH BIDIN & WANDA IDRIS

Siti Nurhaliza dan Datuk K bahagia bersama anak-anak.

SEMEMANGNYA bukan mudah untuk mencelah di tengah-tengah kehidupan sebuah keluarga yang sedia bahagia, apatah lagi andainya kehadiran itu sedikit terlewat dari waktunya. Banyak masa dan perasaan yang perlu dikorbankan untuk mengambil hati, menjaga perasaan insan-insan di sekeliling kehidupan baru yang sedang ditempuhi.

Begitu juga Datuk Siti Nurhaliza pada ketika dia berusaha untuk mencuri sedikit kasih sayang daripada diri anak-anak suaminya, hasil dari perkahwinan terdahulu. Penyanyi ini mengakui pada awal perkahwinan dengan Datuk Khalid Jiwa (Datuk K), bukan mudah untuk dia menyesuaikan diri dengan statusnya sebagai ‘ibu tiri’ kepada empat anak lelaki. Tetapi hari ini kelihatan keadaan semakin berubah.

Siti bukan sahaja berjaya menawan hati suaminya, tetapi juga dapat merapatkan dirinya ke dalam kehidupan anak-anak lelaki itu setelah lebih setahun mendirikan rumah tangga.

“Cukuplah kalau Siti hanya dapat jadi kawan baik mereka. Itu saja yang Siti mahu,” kata Siti Nurhaliza apabila diajak berbicara tentang anak-anak suaminya daripada perkahwinan terdahulu. Semenjak sekian lama banyak yang meminta sesi fotografi ini diadakan. Mereka mahu tahu rahsia Siti Nurhaliza membina kasih sayang dengan anak-anak yang sering kali kelihatan wajahnya di banyak acara nyanyian yang dihadiri Siti.

Awalnya bukan mudah mengaturkan sesi ini. Mujurlah setelah Pancaindera memberitahu fokus kami yang tersendiri, keizinan diberikan oleh Khalid dan kami bertemu di satu majlis. Sesi fotografi ini diadakan selepas keluarga ini meraikan kenalan dan sahabat handai di sebuah restoran eksklusif. Kelihatan ketiga-tiganya mesra dengan Siti, dan masing-masing tidak menolak bila diajak bergambar bersama.

* Tak mahu merebut cinta

Menurut Siti, dalam kehidupannya dia selalu memberi kesedaran kepada diri sendiri bahawa dalam apa juga keadaan, dia tidak boleh bersaing dengan anak-anak Datuk K. Yang perlu dilakukan ialah menjadi teman dan rakan yang memahami kepada setiap daripada mereka. Itu saja. Sebagai ketua keluarga, Datuk K dilihat sebagai figura lelaki yang bertanggungjawab.

Siti mengakui pada awal perhubungannya dengan keluarga ini, dia terpaksa mengambil sedikit masa untuk menjadi akrab seperti sekarang. Hari demi hari Siti kelihatan makin rasi dengan anak- anak suaminya hasil dari perkahwinan pertama. Baik Adib, Ashraff mahupun Aazif, ketiga-tiganya juga tidak lagi kekok bersama Siti. Anak sulung Datuk K, Anas ketika ini sedang melanjutkan pengajian di Australia.

Malah panggilan ‘Mak Iti’ juga semakin sebati di bibir mereka, sebagai menghormati wanita yang dipilih oleh ayah mereka sebagai isteri itu. Melihat kemesraan antara mereka, hati bertanya apa rahsia Siti berjaya menawan hati anak-anak suaminya itu?

Ingin juga berkongsi segalanya dengan pembaca Pancaindera yang banyak bertanya apa yang dibuat oleh penyanyi popular ini dalam menambat hati ketiga anak berkenaan.

Rahsianya? Kata Siti, dia hanya menjadi dirinya yang sebenar dalam setiap apa juga perkara yang dilakukan.

Apabila dia masuk dalam keluarga suaminya, satu yang Siti sedar dia perlu turut sama menggalas tanggungjawab kepada setiap ahli dalam keluarganya.

Menurut Siti, dia sama sekali tidak boleh bersikap mementingkan diri sendiri. Jauh sekali ada sifat tamak dan haloba dalam mendambakan kasih sayang dari suaminya.

“Melihat apa yang Datuk berikan kepada anak-anak, Siti tumpang gembira. Bagi Siti kalau boleh jadi kawan baik anak-anak Datuk pun sudah cukup. Itu saja yang Siti hendak, jadi kawan baik dia orang. Bukan lain-lain yang lebih-lebih,’’ katanya.

* Belajar jadi ibu

Berapa lama Siti ambil masa untuk membina kasih sayang dengan anak-anak Datuk K? Menurut Siti, memang pada awalnya dia mengambil masa untuk masuk ke dalam keluarga berkenaan. Lebih-lebih lagi di usianya yang masih muda, dengan anak-anak Datuk K yang sudah menjengah remaja, tentunya memakan masa untuk mereka menjadi mesra.

“Permulaan dulu, kita kenal-kenal sebagai kenalan biasa saja. Mula-mula tu ambil masa juga. Siti pun masih belajar sesuaikan diri. Tetapi akhirnya tidak ada masalah. Prinsip Siti senang saja, kalau masa itu Datuk dengan anak-anak, Siti biarkan. Siti tak boleh ganggu, sebab Siti faham anak-anak perlukan ayah mereka juga.

“Dalam apa keadaan sekalipun Siti tak akan halang kalau Datuk lebih utamakan anak-anak sebab Siti tahu itu tanggungjawab seorang bapa kepada zuriatnya,” katanya.

Hubungan dengan anak-anak Datuk K juga akan menjadi proses pembelajaran terbaik untuk Siti menyesuaikan dirinya, seandainya suatu masa nanti dia dikurniakan anak sendiri. Pun begitu Siti tidak nafikan dengan kehadiran tiga anak-anak ini di kediamannya, mereka hidup dalam suasana yang lebih meriah dan ceria.

“Bila ada budak-budak di rumah kita akan jadi lagi ceria. Hujung minggu biasanya mereka datang rumah Siti, bermalam bersama-sama. Hari lain masa mereka banyak di rumah di Bukit Antarabangsa,” katanya.

Dua minggu sebelum hadirnya 1 Syawal, Siti bersama dengan suami dan anak-anak menghabiskan masa ke pusat membeli-belah Pavillion yang baru dibuka di tengah-tengah ibu kota untuk membuat persediaan berhari raya.

* Bersambungkah silaturahim?

Sudah dapat menambat hati anak-anak, ada soalan nakal yang minta kami tanyakan kepada Siti. Setelah lebih setahun masa berlalu, tidakkah jauh di sudut hati penyanyi ini berhasrat untuk cuba berbaik semula dengan wanita yang suatu ketika dahulu pernah hadir dalam kehidupan suaminya.

Bekas isteri Datuk K, Tengku Zawyah Tengku Izham sebelum ini juga adalah salah seorang daripada kenalan Siti, jadi apalah salahnya kalau buangkan yang keruh, ambil saja yang jernih.

Banyak pahalanya kalau kita menjalinkan semula silaturahim yang telah terputus di masa lalu. Bagaimanapun Siti memilih untuk tidak menjawab soalan itu. Malah katanya, kalau boleh bicara kami tidak terarah kepada persoalan itu. Sampai bab ini kita juga terpaksa memahami. Barangkali Siti tidak mahu bicaranya tersalah ditafsir, atau mungkin bakal melukakan.

Justeru bibirnya menegaskan, “jangan sentuh pasal hal itu ya. Siti tak tahu hendak cakap macam mana.”

Sementelah Datuk K juga ada bersama, kami cuba bertanyakan soalan yang sama. Awalnya Datuk K juga enggan mengulas dan meminta supaya tidak ditanya soalan yang sama. Bagaimanapun kerana mahu menyelusuri jauh ke dalam hati mereka, kami minta juga pendapat Datuk dalam soal berkenaan. Sedikitpun komen pun jadilah.

“Saya tak ada masalah. Kalau berbaik pun, anak-anak juga yang senang. Tetapi itulah. Hanya masa yang akan menentukan segala-galanya. Saya percaya suatu hari nanti keadaan akan menjadi jernih semula, kita mengharapkan yang terbaik dalam apa juga perkara pada masa depan’’ katanya.

* Siti tidak lokek

Layanan Siti kepada anak-anaknya menjadikan Datuk K cukup terharu. Malah dalam sesetengah keadaan Datuk K banyak memuji Siti yang disifatkan matang dan terbuka dalam soal berbagi kasih sayang.

“Dia tak pernah kedekut dalam soal kasih sayang. Malah dia yang selalu ingatkan saya supaya telefon anak-anak. Tanya pada saya anak-anak mereka berada di mana? Kalau anak-anak tak datang, dia yang lebih susah berbanding saya,” cerita Datuk K.

Pernah dalam jangka masa hampir sebulan, Datuk K langsung tidak menyentuh buku-buku tugasan sekolah anak-anak akibat kesuntukan waktu. Dia ditegur oleh Siti kerana melupakan tanggungjawab berkenaan.

“Dia pula yang marahkan saya. Kenapa tak periksa buku anak-anak? Sebab itu saya melihat Siti dewasa. Dia tahu masa saya dengan anak-anak, dia tak akan ganggu.

“Kadang-kadang dia SMS saya, bagi tahu dia bangga bila saya betul-betul beri tumpuan pada anak-anak melebihi dirinya. dia tak kisah tentang semua itu,” kata Datuk K lagi.

* Kisah sensitif rumah tangga

Pepatah ada mengatakan lautan tidak akan berhenti geloranya, badai pula tidak akan berhenti melanda pantai. Sama juga dengan kehidupan berumah tangga. Tak akan pernah lekang dari kisah-kisah sedih dan pahitnya.

Baik Siti mahupun Datuk K, menganggap kisah rumah tangga mereka juga begitu. Bagaimanapun baik badai mahupun gelora yang melanda, kebanyakannya terhasil dari pihak luar yang membawa angkara.

Gosip, fitnah dan tuduhan sudah menjadi makanan kehidupan pasangan berselisih usia hampir 20 tahun ini. Pun begitu setiap kali ada cerita buruk mendatang, kedua-duanya tidak cepat melatah. Bukan saja Siti, Datuk K juga tidak lari dari menjadi mangsa gosip.

“Siti tahu siapa suami Siti. Setiap kali timbul cerita macam-macam Siti pun pelik, kenapa nama suami Siti yang selalu dikaitkan. Tetapi Siti tak kisah. Sebabnya Siti memang tahu bagaimana kebenarannya, buat apa hendak peningkan kepala memikirkan hal-hal fitnah seperti itu. Yang Siti hendak ketika ini hidup dalam ketenangan dan bahagia bersama, itu saja,” kata penyanyi ini dengan senyuman yang tidak pernah lekang dari bibirnya.

* Kisah wanita bernama Azizah

Ketika anda menatap edisi ini, sudah empat hari Siti berada di pentas mewah Istana Budaya. Siti memulakan fasa baru kehidupannya sebagai pelakon di pentas teater P. Ramlee The Musical….The Life, The Love, The Inspiration.

Bercakap soal teater berkenaan, kata Siti mengakui bukan sesuatu yang mudah untuk dia menjadi Azizah, kekasih unggul kepada P. Ramlee lakonan Sean Ghazi.

Siti perlu membawakan seluruh emosi sebagai Azizah supaya tidak memperlihatkan kecacatan sewaktu beraksi.

Apa kata suami melihat Siti di pentas lakonan? Berpasangan dengan lelaki lain pula tu, membawakan watak orang sedang asyik mahsyuk bercinta. Atau sesekali di rumah, Datuk K pun cuba jadi P. Ramlee, untuk membantu Siti menghayati watak Azizah dengan lebih baik?

Kata Siti suaminya ‘okey’ saja. “Tak adalah sampai dia pun turut berlakon jadi P. Ramlee. Tapi sesekali bila Siti bercakap dengan Datuk, dia ada juga usik Siti dengan membalas, “ya Ajijah, nak apa?”

Menurut Siti, dia sebenarnya sangat malu untuk berlakon di hadapan suaminya itu. Sebab itu di rumah, jarang sekali dia berlatih di depan suaminya, kecuali sewaktu Datuk K tiada di rumah.

“Tetapi di tempat latihan kena buat juga. Kadang-kadang dia tengok jugalah sebab Datuk selalu temankan Siti masa latihan jika dia ada kelapangan. Malu ke, segan ke, Siti kena buat juga sebab nanti tiba hari pementasan perasaan malu tu semua kena buangkan jauh-jauh. Jadi Siti masih melatih diri untuk buang segala rasa malu dan segan di pentas,” katanya.

Untuk menyaksikan Azizah lakonan Siti Nurhaliza, masih belum terlambat kerana pementasan ini berlangsung sehingga 3 November ini.

sumber: utusan malaysia online


Comments:
yanie on April 20th, 2008 at 7:35 am #

cyg ct…luv anak tiri

Post a comment
Name: 
Email: 
URL: 
Comments: