Oct
07
    
Posted (admin) in Datuk K, utusan malaysia online, Personal Siti on October-7-2007

Oleh: TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN

WARGA artis turut berkongsi duka dengan keluarga allahyarham Nurin.


MEREKA popular, ternama dan dipuja. Tetapi di sisi lain kehidupannya, mereka hanya insan biasa yang tidak terkecuali terhimpit dek getaran rasa-rasa kemanusiaan. Ketika diri dibalut kemewahan hasil kejayaan bidang seni, mereka juga terbius dengan pedih dan getir kehidupan insan lain yang malang.

Penderitaan insan yang kehilangan, kekurangan dalam serba-serbi turut mendapat ihsan insan-insan popular ini.

Maka tidak hairan kenapa Tabung Gempa Nusantara yang ditubuhkan oleh Kumpulan Utusan dan Maybank turut mendapat perhatian daripada artis-artis popular kita.

Malah tidak kurang yang menganjurkan acara khas bagi tujuan mengutip sumbangan untuk diberikan kepada tabung berkenaan.

Tabung Gempa Nusantara Utusan-Maybank yang dilancarkan pada 14 September lalu bagi membantu meringankan kesengsaraan mangsa gempa bumi di Sumatera, Indonesia.

Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza misalnya antara artis terawal yang menyampaikan sumbangan kepada tabung berkenaan.

Sambil menggalakkan sikap menderma di kalangan peminat-peminatnya, kata Siti, amalan bersedekah amat mulia diamalkan bukan saja pada Ramadan tetapi juga setiap masa.

“Kehidupan kena saling membantu mereka yang memerlukan. Siti juga menyumbang setakat yang termampu demi untuk kebahagiaan insan lain,” kata penyanyi ini.

Sibuk dengan pelbagai urusan, rumah tangga dan sesi latihan teater muzikalnya di Istana Budaya, tetapi Siti Nurhaliza masih lagi menjadikan sesi menziarah sebagai keutamaannya pada bulan Ramadan.

Malah artis paling popular ini tidak jemu bersama suami Datuk Khalid Jiwa ke hulu ke hilir menjayakan rancangan amal yang dibuat bagi memberi bantuan kepada golongan yang memerlukan. Siti menjadikan amalan bersedekah sebagai tuntutan yang perlu diutamakan sepanjang bulan mulia ini.

Selain itu antara yang berhasrat untuk menganjurkan acara khas bagi mengisi tabung berkenaan ialah Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-16, Umie Aida.

Pelakon jelita ini yang akan menganjurkan satu kutipan derma kalangan artis-artis tempatan untuk mengisi tabung berkenaan pukul 6 petang, hari ini.

Bertempat di Oren Cafe, Jalan Raja Uda 1, Kampung Baru, pelakon ini bersama artis-artis popular lain menjemput mereka yang mahu menyertai mereka dalam acara cukup mulia ini.

Peminat dan orang ramai dijemput datang tanpa segan silu jika berhasrat untuk memberi sumbangan dan bertemu dengan artis-artis yang terlibat.

“Bulan mulia kena perbanyakkan amalan. Justeru amalan bersedekah sangat dituntut dalam agama kita. Umie bangga kerana hari ini rakan-rakan artis tidak lokek menghulurkan bantuan dan keringat mereka bagi sama-sama menyumbang kepada Tabung Gempa Nusantara yang dianjurkan syarikat akhbar terkemuka seperti Kumpulan Utusan,” kata Umie.

Antara pelakon yang sudah menyatakan kesediaan untuk turut serta dalam acara ini ialah Erra Fazira, Linda Onn, Fahrin Ahmad, Ann Abdullah, erma Fatima, Sharifah Sahora dan ramai lagi.

Kutipan yang terhasil pada hari berkenaan juga akan diagihkan kepada beberapa sekolah pondok tahfiz di Sik, Kedah yang terlibat dalam kebakaran pada 22 September lalu.

Sementara itu, belasan artis turut menyokong usaha Kumpulan Utusan dan Maybank bagi mengisi tabung berkenaan dalam satu majlis yang dianjurkan di Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa pada 27 September lalu.

Antara artis yang hadir ialah Norlia Ghani, Zaibo, Salwa Abdul Rahman, Yusni Jaafar, Adi Putra, Khairil Khamis, Bob Akademi Fantasia, Amylea, Mas Omar, Sawiah Ali dan Yang Jamil. Hampir RM3,000 berjaya dikutip oleh artis-artis berkenaan pada majlis tersebut.

Majlis yang dinamakan Majlis Berbuka Puasa Jom Makan Kemanusiaan ini diketuai oleh tukang masak popular, Chef Yang Jamil.

“Cetusan idea ini datang daripada saya dan rakan-rakan artis lain. Sebagai tukang masak selebriti, saya rasakan ini adalah sesuatu yang termampu untuk saya dan rakan-rakan lain lakukan.

“Segala yang kita lakukan adalah atas rasa keikhlasan dan keprihatinan yang tidak berbelah bahagi kepada insan lain yang memerlukan,” kata Yang Jamil.

* Air mata di rumah Nurin

Yang ada hanyalah rasa sebak yang bertakung di dada. Lalu air mata menitik laju kala rumah flat di Seksyen 8, Wangsa Maju itu diziarahi. Ada cerita luka yang dikongsi bersama tatkala kunjungan dibuat.

Kehilangan adik Nurin Jazlin Jazimin, 8 tahun pada 20 Ogos lalu kepada penemuan mayatnya pada 17 September dalam keadaan cukup menyayat hati menyentuh rasa jutaan rakyat malaysia.

Artis-artis juga turut menjamah rasa yang sama lalu mereka menziarah keluarga malang berkenaan pada 26 September lalu.

Barangkali kehadiran ini tidak memberi sebarang makna kepada mereka yang di luar sana. Tetapi kepada keluarga Jazimin, kehadiran artis-artis ini buat seketika berjaya mengusir duka yang bertamu.

“Terima kasih datang. Saya terharu,” kata Jazimin kepada artis-artis yang hadir sambil menahan sebak. Memangnya kelihatan keluarga ini cukup terharu dengan ziarah yang dilakukan artis-artis ini yang dianggap cukup prihatin tentang kesedihan yang sedang melanda mereka.

Artis-artis yang hadir ialah Shidee, Salwa Abdul Rahman, Datuk Yusni Hamid, Jaclyn Victor, Yanie, Nikki, Azizul Khamis, Zaibo, Chef Yang Jamil, Haris Osman. Rombongan artis ini diketuai oleh Mas Omar dan Sawiah.

Datuk Yusni Hamid yang paling terkesan apabila sedari sampai ke rumah berkenaan, sehinggalah ke langkah meninggalkannya dia tidak henti mengalirkan air mata.

“Masuk saja ke rumah arwah Nurin, terasa sayu sangat. Pantas saya teringat kenapa ada manusia yang berhati binatang dan tidak bertimbang rasa mengkhianati kanak-kanak yang tidak berdosa,” kata Yusni. Kematian Nurin kepada Yusni adalah terlalu tragis dan menyentap hati setiap insan, terutamanya wanita yang mempunyai anak-anak sendiri.

Artis-artis ini turut memberi sumbangan wang tunai peribadi kepada keluarga mangsa.

sumber: utusan malaysia online


Post a comment
Name: 
Email: 
URL: 
Comments: