|
|
|
|
|
Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my
PELBAGAI komen diberikan pendengar membabitkan album terbaru dihasilkan Datin Seri Siti Nurhaliza Taruddin, 29, atau lebih mesra dengan panggilan Siti iaitu Hadiah Daripada Hati (HDH).
Akui bukan mudah penyanyi sepertinya mempertahankan sesuatu yang sudah digemari peminat seperti album Transkripsi
Kebanyakan peminat setia Siti berasakan HDH yang terbaik pernah dihasilkan penyanyi yang mula melonjak namanya menerusi lagu Aku Cinta Padamu.
Sejak dipasarkan Oktober lalu sambutan diberikan peminat amat menggalakkan. Tambahan pula single pertama Ku Mahu kini sedang mendaki carta lagu popular di beberapa stesen radio popular.
Begitupun, ramai pemerhati industri muzik tempatan beranggapan album HDH kurang mantap berbanding album Transkripsi terutama membabitkan produksi dan susunan lagu.
Ketika dihubungi baru-baru ini, Siti mengakui bukan mudah untuk penyanyi sepertinya mudah mempertahankan sesuatu yang sudah digemari peminat seperti album Transkripsi
“Tambahan pula Transkripsi turut mendapat pengiktirafan dengan memenangi anugerah utama Album Terbaik di majlis Anugerah Industri Muzik tahun lalu.
“Namun, sebagai penerbit album dengan syarikat sendiri, kami bertungkus lumus menghasilkan yang terbaik. Ibarat kata pepatah alah bisa tegal biasa. Memang ada pihak akan cuba membandingkan album HDH dengan album terdahulu.
“Begitupun, maklum balas diberikan daripada peminat saya sendiri amat baik. Mereka tahu dan memahami apa yang cuba saya tampilkan dalam album terbaru ini,” katanya.
Siti turut menafikan album HDH dilakukan secara tergesa-gesa dan menjelaskan proses bagi mencari lagu untuk dimuatkan di dalam album itu sudah lama dilakukan.
“Cuma ada satu atau dua lagu saja yang baru. Hendak diikutkan pada peringkat awal seperti yang saya katakan sebelum ini, pihak syarikat Siti Nurhaliza Production mahu merakamkan album tradisional tetapi sayangnya kami kekurangan material.
“Bagi memastikan masa tidak terbuang begitu saja jadi pihak saya beralih ke proses pembikinan album pop pula.
“Dalam HDH saya gabungkan pelbagai jenis muzik pop, bukan saja mengikut cita rasa orang luar tetapi mengikut kesesuaian vokal saya juga.
“Begitupun, sebelum ini ada pendengar yang mahu saya kekalkan cara nyanyian seperti dulu dan ada beberapa lagu yang dendangkan mengikut apa yang mereka inginkan.
“Ada juga antara lagu kedengaran seperti sentuhan muzik lama. Sengaja saya memasukkan lagu itu kerana golongan peminat saya dari segenap lapisan. Ada muzik baru yang ditampilkan bertujuan menarik perhatian peminat zaman sekarang.
“Pendek kata, segalanya ada dalam HDH. Cuma bila orang masih membayangkan Transkripsi, mereka masih membuat perbandingan.
“Banyak lagu menarik dalam album terbaru ini sebenarnya dan dari segi produksi keseluruhan saya tetap menitikberatkan kualiti. Secara peribadi album ini memberikan satu kepuasan bagi diri saya,” katanya lagi.
Sebaik pulang daripada menunaikan ibadah haji, Siti sudah mula kembali melakukan aktiviti promosi album HDH seperti muncul dalam program televisyen dan radio juga bertemu peminat.
“Walaupun penampilan saya sekarang ini agak terhad disebabkan kesibukan jadual tapi saya tetap berusaha keras untuk menjayakan sebarang aktiviti promosi bagi memastikan ia dapat diterima peminat,” katanya lagi
sumber: harian metro online
|
|
|
|
|
|
|
|
MALAM tadi berlangsungnya kemuncak Anugerah Juara Lagu 22 (AJL22) di Stadium Putra, Bukit Jalil tanpa kehadiran Faizal Tahir untuk membawakan lagu Mahakarya Cinta dan Kasih Tercipta.
Rabu lalu, program One In A Million musim kedua (OIAM2) menjalani rakaman untuk disiarkan di 8TV pada Jumaat dan bukan secara langsung sebagaimana biasa.
Dua perkara ini disebabkan tindakan Faizal yang disifatkan pendek akal kerana membuka baju dan tali pinggang ketika menjayakan konsert anjuran 8TV pada 13 Januari lalu, hingga mencetuskan kontroversi.
Sebagai pengajaran kepada Fazial dan tanda 8TV peka dengan isu ini, stesen yang bertanggungjawab melahirkan Faizal melalui OIAM tahun lalu, menghukum Faizal menjalankan kerja sosial selama enam bulan. Tidak cukup dengan itu, pengurusan Faizal, 8 Unit menyekat hasil royalti penjualan album dan pertunjukan pentas Faizal.
Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia (SKMM) pula menggantungnya daripada muncul dalam sebarang program siaran langsung berbentuk hiburan selama tiga bulan, berkuat kuasa 15 Januari. 8TV pula tidak dibenarkan membuat siaran langsung mahupun tertunda bagi konsert dan semua program hiburan selama tiga bulan.
Sebenarnya ramai menanti kemunculan Faizal di AJL22 kerana lagu Mahakarya Cinta dikatakan punya peluang cerah untuk menang. Malah ramai yang menanti apa agaknya yang akan dilakukan Faizal kalau lagu itu diumumkan juara kategori balada atau juara keseluruhan.
Sebelum ini apabila dua lagunya diumumkan berjaya ke AJL22, Faizal menunjukkan tanda gembiranya dengan aksi meluncur dan isyarat tangan yang disifatkan ramai orang sebagai keterlaluan. Ternyata menjelang kemuncak AJL22, Faizal sudah melakukan aksi yang lebih berani.
Pelbagai pro dan kontra diperkatakan orang mengenai hukuman diterima Faizal. Ada mengatakan ia keterlaluan kerana ada artis lain yang melakukan kesalahan jenayah dan penyalahgunaan dadah tetapi tidak dihukum.
Hujah mereka lagi, membuka baju bukan satu kesalahan besar dan tidak menyalahi hukum agama pun berbanding ada artis wanita yang bangga mendedah aurat yang sah-sah salah dari segi hukum agama malah ada yang sanggup berbogel.
Ketika isu ini hangat diperkatakan pada Sabtu dan Ahad lalu, saya berada di Bandung, Indonesia mengikuti rombongan ntv7. Berita mengenainya sampai juga ke Bandung apabila ada yang mengirimkan SMS. Heboh juga perkara itu diperkatakan apabila berbual dengan Ketua Pegawai Eksekutif ntv7, Datuk Amrin Awaluddin.
Selain isu Faizal, AJL22 juga dinanti-nantikan untuk melihat kemunculan pertama Datin Seri Siti Nurhaliza di pentas, selepas pulang mengerjakan haji di Makkah.
Sebelum ini penampilan Siti dengan imej bertudung sudah ditatap peminat melalui akhbar bermula dengan penampilan Siti menghadiri majlis ulang tahun Chef Wan bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa, kemudian gambar eksklusif Siti khusus untuk muka depan Rap pada 10 Januari sempena Awal Muharam.
Tidak ketinggalan gaya Siti ketika hari jadinya yang ke-29 pada 10 Januari tapi Harian Metro tidak diundang, tiadalah cerita dan gambarnya dipaparkan dalam akhbar ini. Kemudian Siti dan suami hadir di majlis Cipta Ekspres anjuran MACP Port Dickson, Negeri Sembilan pada 16 Januari lalu.
Apa jadi bualan orang ialah gaya tudung Siti yang direka pereka terkenal, Datuk Bernard Chandran dan juga Radzuan Radzwill. Ramai memuji Siti nampak manis bertudung.
Terbaru, saya menerima kiriman e-mel daripada pembaca mengenai satu lagi fesyen tudung Siti ketika menghadiri pembukaan rasmi Restoran & Kedai Roti The Loaf di Pavilion, Selasa lalu.
Tapi semua itu penampilan Siti ketika menghadiri majlis bersama suami tetapi AJL22 menjadi medan pertama untuk Siti muncul di pentas.
Siti kembali ke pentas Juara Lagu mempertaruhkan lagu Destinasi Cinta selepas dua tahun berehat. Kali terakhir Siti berentap di AJL pada AJL19 menerusi lagu Kau Milikku yang menjadi juara kategori Pop Rock.
Seorang lagi artis kita yang baru pulang dari Makkah, Sheila Rusly juga turut mendapat perhatian pembaca apabila mula bertugas mengacara Apa-apa Aje di TV3, Khamis lalu. Ramai memuji Sheila nampak manis dan anggun bertudung.
Dalam pada itu, ada pembaca membuat perbandingan mengenai penampilan tiga artis wanita kita yang bergelar hajah, Deja Moss, Siti dan Sheila.
Tapi, itulah harga yang perlu diambil artis kerana segala kelakuan dan penampilan mereka menjadi tumpuan.
sumber: harian metro online
|
|
|
|
|
|
|
|
Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my
Rap |
 |
Insaf, rasa kerdil di Tanah Suci
KEPUTUSAN dibuat Datin Seri Siti Nurhaliza Tarudin, 29, tampil mengenakan selendang di kepala selepas pulang dari menunaikan ibadat haji pada 27 Disember lalu, menerima reaksi pelbagai daripada peminat. |
Ada yang menyambut baik keputusan dibuat dan memuji Siti kelihatan manis bergaya begitu. Apatah lagi ia sesuai dengan statusnya yang kini bergelar hajjah dan isteri.
Tidak kurang ada yang meluahkan rasa tidak puas hati kononnya Siti tidak memenuhi janji dibuat sebelum berangkat ke Tanah Suci pada 13 Disember lalu mahu bertudung litup selepas kembali ke tanah air.
Siti tampil buat pertama kali di hadapan umum dengan imej barunya ketika menghadiri majlis sambutan hari jadi ke-50 pengacara masakan terkenal, Redzuawan Ismail atau Chef Wan, Isnin lalu.
Sempena Maal Hijrah yang disambut hari ini, secara tidak langsung perubahan dilakukan penyanyi yang muncul dengan album terbaru, Hadiah Daripada Hati itu ialah untuk menjadi insan lebih baik berbanding sebelum ini. Esok pula (11 Januari) Siti akan meraikan ulangtahunnya yang ke-29.
Siti menegaskan, dia bersedia menerima apa saja maklum balas diberikan umum membabitkan penampilannya sekarang sama ada positif dan juga negatif.
“Saya tahu ada pihak berasa kurang senang dengan memberikan pelbagai komen dan pandangan peribadi mereka membabitkan perubahan imej ditampilkan ini.
“Begitupun, saya senang tampil secara sederhana. Saya tidak mahu melakukan perubahan drastik. Biarlah perubahan dibuat dilakukan secara perlahan-lahan,” katanya.
Siti yang tetap ceria dan sedia berkongsi pengalaman menunaikan ibadat haji buat kali pertama berkata, dia bersyukur kerana segala-galanya berjalan dengan lancar.
“Saya amat bersyukur kerana ibadat dapat dilakukan dengan sempurna dan teratur. Tiada perkara tidak diingini berlaku. Inilah pengalaman paling manis dalam hidup yang pernah saya lalui.
“Bayangkan melihat jutaan manusia bersama-sama berada di Tanah Suci membuatkan saya berasa insaf dan kerdil. Sesungguhnya Allah itu Maha Besar,” katanya.
Sepanjang bercerita, jelas kelihatan mata Siti berkaca dan senyuman gembiranya sentiasa tergambar di bibir. Katanya, impiannya untuk menunaikan ibadat haji dengan membawa ibunya, Siti Salmah Bachik akhirnya terlaksana.
“Selain itu saya juga gambira apabila suami, Datuk Seri Khalid Mohamed Jiwa dan abang, Saiful Bahri turut bersama. Di sana saya menetap di Hotel Intercon.
“Banyak juga pengalaman yang tidak dapat saya lupakan. Contohnya saya terkejut apabila bangun awal pagi untuk melakukan ibadat di Masjidil Haram, saya tengok ramai orang tidur di kaki lima hotel.
“Melihat akan peristiwa itu membuatkan saya insaf. Apabila kita berada di Tanah Suci, semua manusia tarafnya sama di sisi Allah. Tiada beza darjat dan keturunan,” katanya.
Apapun kata Siti, dia tidak berkesempatan bertemu dengan mana-mana artis tempatan yang sama-sama mengerjakan haji kali ini. Begitu juga dengan rombongan yang bertolak bersama-sama dengannya tiada pegawai kerajaan yang dia nampak kecuali kebanyakan mereka adalah ahli perniagaan.
“Saya terus ke Makkah dan hanya tinggal di Madinah selama dua malam. Begitupun ada satu peristiwa menarik berlaku. Saya terserempak dengan penyanyi dangdut popular Indonesia, Inul Daratista. Waktu itu saya mahu pulang ke hotel sementara Inul pula baru keluar dari hotel yang sama.
“Saya tidak menyedarinya pada awal tetapi melihat wajahnya dari dekat baru saya perasan itu Inul. Kami terus saling bertegur sapa kerana gembira dapat bertemu. Inul pula sempat merakamkan gambar kami bersama,” katanya.
Selain berubah dari sudut penampilan, Siti juga kelihatan sedikit susut. Kata Siti, dia tidak menghadapi masalah kesihatan di sana.
“Cuma apabila berada di Tanah Suci, tidak banyak perkara yang difikirkan kecuali untuk beribadat sepenuhnya. Makan pun hanya sekadar untuk mengisi perut,” katanya.
Penyanyi berasal dari Temerloh, Pahang itu juga tidak banyak membeli barang kecuali tiga helai jubah untuk kegunaan peribadi.
Siti juga menegaskan, penampilannya itu akan dikekalkan termasuklah apabila mengadakan persembahan untuk Anugerah Juara Lagu Ke-22 yang bakal berlangsung pada 27 Januari ini di Stadium Putra, Bukit Jalil.
Selepas itu penyanyi yang kini popular dengan lagu Ku Mahu, akan memberikan tumpuan penuh pada kerja promosi album Hadiah Daripada Hati.
Selepas 12 tahun dalam bidang seni pencapaiannya cukup hebat. Sehingga kini Siti menerima lebih 140 anugerah. Antaranya Anugerah Industri Muzik (22 anugerah), Juara Lagu (17), Anugerah Bintang Popular Berita Harian (13), Anugerah Era (11) dan Anugerah Planet Muzik (11).
Siti juga mendapat pengiktirafan di luar negara seperti Anugerah Muzik Indonesia, Festival Muzik Shanghai, MTV Asia dan juga Voice of Asia 2002 merangkul Juara Grand Prix.
Profile
Nama Penuh: Datuk Siti Nurhaliza Tarudin
Tarikh Lahir: 11 Januari 1979
Bintang: Capricorn
Keluarga: Anak kelima daripada lapan beradik
Tempat Lahir: Kampung Awah, Temerloh, Pahang.
Status: Berkahwin
Suami: Datuk Seri Khalid Mohamed Jiwa
Hobi: Menonton VCD dan membaca majalah
Warna Kegemaran: Hijau dan pastel
Makanan Kegemaran: Masakan kampung, Thai dan masakan ibu
Minuman Kegemaran: Minuman panas
Muzik Kegemaran: Pop, Alternatif, R&B, Tradisional
Artis Pujaan: Ziana Zain, Celine Dion, Allahyarham Sudirman & P Ramlee
Anugerah: Johan Setia Mahkota (JSM), Paduka Mahkota Perak (PMP), Ahli Ahmad Shah Pahang (AAP), Setia Ahmad Shah (SAP) dan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP yang membawa gelaran Datuk)
sumber: harian metro online
|
|
|
|
|
|
|
|
KUALA LUMPUR: Selepas pulang menunaikan ibadat haji, Datin Seri Siti Nurhaliza Taruddin, 28, buat pertama kali tampil dengan imej bertudung ketika menghadiri majlis hari jadi Chef Wan di Restoran Tarbush, Starhill, Bukit Bintang di sini, malam tadi.
Siti berangkat ke Makkah pada 13 Disember untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu dan selamat pulang ke tanah air pada 27 Disember.
Penyanyi nombor satu negara yang hadir ditemani suami, Datuk Seri Khalid Mohamed Jiwa, ketika ditemui memberitahu, penampilan itu akan dikekalkan.
“Insya-Allah buat masa se- karang inilah penampilan saya dan tudung ini direka khas Datuk Bernard Chandran.
Saya ada beberapa lagi koleksi tudung sama. Rasanya ia sangat sesuai,” katanya ketika ditemui pemberita.
Siti juga menegaskan, dia akan menutup kepala apabila menyertai Anugerah Juara Lagu Ke-22 yang dijadualkan berlangsung pada 27 Januari depan di Stadium Putra, Bukit Jalil.
“Setakat ini, saya belum pasti bagaimana corak tudungnya tetapi apa yang pasti, saya akan menutup kepala.
“Walaupun lagu Destinasi Cinta agak rancak, ia bukan satu masalah kerana cara berpakaian saya sekarang boleh disesuaikan dengan corak persembahan,” katanya .
Begitupun Siti tidak menafikan penampilannya itu akan menimbulkan cakap-cakap belakang di kalangan masyarakat, namun dia mengambil pendirian ‘tidak ambil pusing’ berikutan apa yang dilakukannya ikhlas dan lahir daripada hati.
“Rasanya inilah penampilan sebaik-baiknya. Untuk bertudung litup, Insya-Allah dengan izinNya mungkin saya mengenakannya pada masa depan,” katanya.
Baginya, dia perlu mengambil langkah baik itu secara perlahan-lahan.
Kata Siti lagi, suaminya senang apabila melihat dia bergaya sedemikian dan menyokongnya.
Bercerita lanjut mengenai ibadat dilakukan, kata Siti, dia benar-benar bersyukur kerana tidak banyak halangan dilalui sepanjang menunaikan haji.
“Saya bersyukur kerana impian dan doa saya dimak- bulkan. Sudah lama saya menyimpan impian dan akhirnya terlaksana.
“Pemergian saya menunaikan ibadat haji lebih manis kerana ditemani ibu tersayang, suami dan abang saya, Ayie,”katanya.
sumber: harian metro online
|
|
|
|
|
|
|
|
KEMUNCULAN kali pertama Datin Seri Siti Nurhaliza selepas pulang dari menunaikan haji di Makkah pastinya dinanti-nantikan peminat untuk melihat perubahannya selepas bergelar hajah.
Apakah penyanyi yang terkenal dengan lagu Biarlah Rahsia itu kini bertudung? Lebih-lebih lagi ketika pelancaran album terbarunya, Hadiah Daripada Hati beberapa hari sebelum pemergiannya ke Tanah Suci pada 13 Disember lalu, mengenakan skaf menutupi sebahagian rambutnya.
Penampilannya itu, secara tidak langsung menguatkan lagi khabar angin kononnya Siti mahu memakai tudung selepas pulang dari Makkah.
Namun harapan peminat dan wakil media untuk melihat penampilan terbaru Siti tidak kesampaian ketika majlis sidang media dan showcase Anugerah Juara Lagu ke-22 (AJL22) di Jusco 1 Utama, Bandar Utama Damansara, Sabtu lalu.
Penyanyi tersohor itu dijangka hadir kerana turut berentap dalam kategori pop rock menerusi lagu Destinasi Cinta tetapi tidak tampil pada hari itu, hanya menyaksikan fi nalis lain, Ramlah Ram, Aishah, Nora, Fazli Zainal, Faizal Tahir, Sahri dan Andy Flop Poppy.
Siti dikatakan tidak hadir kerana mahu buat kejutan pada hari kemuncak AJL22 pada 27 Januari nanti dan hanya diwakili kakak iparnya, Rozie Abdul Razak petang itu.
Pengurus Besar Hiburan, Sukan dan Rekreasi TV3, Azhar Borhan, berkata dia hanya dimaklumkan Siti sedang berehat dan tidak pasti apakah benar dakwaan kononnya Siti tidak menghadiri majlis itu kerana mahu membuat kejutan berhubung penampilan terbarunya pada 27 Januari nanti.
“Memang benar Siti sudah pulang dari Makkah tetapi saya hanya dimaklumkan Siti tidak dapat hadir kerana dia mempunyai hal lain selain sedang berehat. Maklumlah Siti baru pulang dari menunaikan haji. Barangkali beliau masih kepenatan.
“Jika ditanya soal persiapannya untuk menghadapi AJL-22, mungkin kami sudah mendapat sedikit gambaran mengenai persembahannya. Tapi kalau penampilan beliau, kami sendiri ternanti-nanti apakah perubahan yang dialaminya, adakah beliau sekarang sudah bertudung,” katanya.
Mengenai kegagalan penyanyi asal lagu Izinku Pergi, Kaer yang disahkan tidak akan bertanding di peringkat akhir nanti dan menyerahkan tanggungjawab itu kepada rakan seperjuangannya, Shari, Azhar berkata, penyanyi itu masih berada di Jakarta melanjutkan pelajarannya.
“Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, Kaer melanjutkan pelajaran di sebuah universiti di Jakarta dan begitu sibuk dengan pengajiannya. Sebab itulah pada peringkat separuh akhir lalu, dia meminta rakan baiknya, Sahri menggantikan tempatnya.
“Kebetulan pihak pengurusan Kaer, pencipta lagu itu, Azlan Abu Hassan dan TV3 sudah mempersetujui jika lagu itu layak ke fi nal, tanggungjawab itu tetap akan dilaksanakan Sahri,” katanya.
AJL22 kali ini membawakan tema unik ‘Music Magic’ sebagai satu kelainan daripada tahun-tahun sebelumnya. Acara berprestij itu akan dilangsungkan di Stadium Putra, Bukit Jalil pada 27 Januari, jam 8.30 malam.
Lebih istimewa, penonton boleh menyaksikan detik-detik terakhir persiapan AJL22 selain melihat aksi selebriti popular dengan gaya dan busana mewah di ‘hamparan permaidani merah’ melalui rancangan khas ‘AJL X-klusif’ jam 7.30 malam.
“Tema ‘Music Magic’, saya kira amat bertepatan kerana muzik mampu mempengaruhi kehidupan kita. Bahkan muzik yang dihasilkan datangnya dari sebuah imaginasi dan khayalan penggubah lagu lalu diterjemahkan ke dalam bentuk lagu,” kata Azhar.
Tidak hanya tema yang meriah, AJL22 juga menggandingkan empat pengacara berbakat besar iaitu dua pengacara program Muzik Muzik, Cheryl Samad dan Faizal Ismail serta Ally Iskandar dan Fara Fauzana.
Pun begitu, ada yang menyifatkan pembabitan pengacara yang terlalu ramai memungkinkan tumpuan program yang pada asalnya ringkas dan padat menjadi meleret-leret sekali gus mengundang lebih banyak kesilapan.
Bagi Pengurus Besar Pengurusan Jenama TV3, Farisha Pawanteh, gandingan ramai pengacara bukanlah kali pertama dilakukan kerana ia dilakukan pihaknya dalam pelbagai program besar sebelum ini tanpa sebarang masalah.
“Mereka yang terbabit dengan AJL22 semuanya berpengalaman dan berbakat maka kami yakin mereka mampu melaksanakan tugas ini dengan baik.
Yang penting, kami mahukan suasana yang lebih meriah.
“Pihak penerbitan juga semestinya memainkan peranan mereka untuk membahagikan tugas pengacara sebalik mungkin sepanjang siaran langsung yang mengambil masa dua setengah jam itu,” katanya.
Majlis petang itu turut diserikan dengan persembahan daripada fi nalis AJL22, Fazli Zainal dengan lagu Harapan, Jinbara (Farhana Bumi Kenyalang), Sofaz (Janjiku), Faizal Tahir (Mahakarya Cinta) dan Nora (Samudera). Turut diadakan acara cabutan nombor giliran peserta pada malam kemuncak nanti.
Jinbara yang mempertaruhkan lagu Farhana Bumi Kenyalang ciptaan Denai dan lirik Andy Rahman menjadi peserta pertama diikuti Nora lagu Samudera (Johan Nawawi/ Ahmad Fedtri Yahya), Fazli (Harapan-Hazami), Siti Nurhaliza (Destinasi Cinta-Lin Li Zen/PSSN), Faizal (Mahakarya Cinta-Audi Mok/Mohd Shariza Shamsiri), Aishah (Kasihnya Balqis-Adnan Abu Hassan/Moharis Yaakup), Misha Omar dan Andy Flop Poppy (Sembunyi- Aidit Alfi an/Loloq) dan Sofaz (Janjiku-Taja/Tass) kelapan.
Sahri (Izinku Pergi- Azlan Abu Hassan/SuluSarawak) mendapat giliran tempat kesembilan, diikuti Mawi (Angan dan Sedar- M. Nasir/Loloq), Jaclyn Victor dan Lah (Ceritera Cinta-Ross Ariffi n/Habsah Hassan), Estranged (Itu Kamu-Estranged/ Rachael Lawrence), Ramlah Ram (Dirgahayu-Radeen Sri/ Hairul Anuar Harun) dan Faizal (Kasih Tercipta-Ajai/Shuhaimi Baba) sebagai peserta terakhir.
Beberapa peserta turut ditemu bual mengenai persiapan mereka menjelang AJL22.
sumber: harian metro online
|
|
|
|
|
|
|
|
Rap |
 |
PENYANYI nombor satu negara, Datin Seri Siti Nurhaliza akan berlepas ke Makkah untuk menunaikan haji pertengahan bulan depan. Sudah tentu perkara yang dinantikan peminat selepas Siti pulang dari Makkah nanti ialah bagaimana agaknya penampilan Siti apabila bergelar hajah. |
Sesuai dengan gelaran itu, tentunya Siti akan tampil bertudung. Tambahan pula Siti pernah meluahkan hasratnya untuk bertudung selepas berkahwin. Siti sudah pun berkahwin dengan Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa.
Memang sesuai benar kalau selepas ini Siti memakai tudung. Menyanyi dengan bertudung juga bukanlah sesuatu yang asing kerana Hetty Koes Endang juga bertudung dan bergelar hajah. Tapi dia tetap menyanyi dan sering jadi pilihan penganjur memenuhi undangan majlis tertentu di sini. Begitu juga dengan Aishah.
Tapi ada juga artis kita yang sudah menunaikan haji masih tidak bertudung. Penyanyi Indonesia, Kris Dayanti juga sudah bergelar hajah tapi tetap menyanyi dan tidak bertudung.
SS difahamkan, Siti sendiri belum memutuskan apakah kembalinya nanti dari Makkah dengan perubahan bertudung. Kata Siti, tengoklah nanti.
Tapi SS rasa Siti akan bertudung selepas pulang dari Makkah nanti. Sebabnya, SS difahamkan kulit album terbaru Siti yang akan dipasarkan beberapa hari sebelum dia berangkat ke Makkah, tidak menunjukkan rambut Siti.
SS difahamkan, hanya wajah Siti dipaparkan manakala rambutnya menggunakan hiasan grafik tapi SS belum melihat gambar pada kulit album itu. Nampaknya SS kena tunggu lagi. Video klip untuk single pertama juga sudah siap tapi SS tidak pasti pula bagaimana konsepnya tapi dengarnya menggunakan konsep sama tidak paparkan keseluruhan wajah Siti.
Difahamkan, album itu akan dilancarkan tiga hari sebelum Siti berangkat ke Makkah. SS dengar album ini memuatkan 13 lagu ciptaan komposer Malaysia dan Indonesia. Lima daripadanya karya komposer Indonesia.
SS yakin album kali ini mengumpulkan lagu-lagu yang bagus sebagaimana Transkripsi hingga satu demi satu single diputarkan di radio sepanjang tahun, tidak seperti album penyanyi lain hanya satu atau dua lagu. Nampaknya Siti memang suka buat peminat berteka-teki dan selepas sabar menunggu barulah tahu cerita sebenar.
sumber: harian metro online
|
|
|
|
|
|
|
|
Rap |
KETIADAAN Datin Seri Siti Nurhaliza bersama barisan penyanyi lain ketika saat penting menantikan keputusan separuh akhir Muzik Muzik 22 kategori Balada Ahad lalu, sudah tentu timbul tanda tanya. Apa sudah jadi dengan Siti kerana sebelum itu tampil hebat mempertaruhkan lagu Bisakah ciptaan Aubrey Suwito. |
Apabila Bisakah tidak disenaraikan antara lima lagu yang berjaya ke Anugerah Juara Lagu 22 (AJL22), ramai terkilan kerana Siti sebelum itu disebut-sebut bakal memeriahkan kembali AJL22 selepas dua tahun tidak bertanding.
Ada bertanya apakah Siti sudah tahu keputusan lebih awal hingga mengambil tindakan pulang awal? Bunyinya sungguh berburuk sangka tetapi hakikat sebenar, ketiadaan Siti kerana dia ada show hingga terpaksa bergegas pulang sebaik selesai menyampaikan lagu itu.
Nyata alasan yang diberikan masih menimbulkan prasangka. Ada teman meluahkan rasa kasihan kerana Siti terpaksa berkejar menerima undangan menyanyi sedangkan dia kini berstatus isteri ahli perniagaan yang disifatkan kaya-raya.
Kata teman itu, ingatkan selepas kahwin keutamaan Siti pada keluarga dan bukan lagi kerja. Banyak juga cerita mengenai Siti selepas kahwin diperkatakan orang. Kata mereka, kalau dulu Siti menyanyi menyara keluarga kini tetap sama.
Itu kata orang, tapi apa yang saya lihat, Siti begitu bahagia dan bertuah kerana dilimpahi kasih sayang dan kemewahan bersama suami tersayang. Mereka tinggal di penthouse mewah di tengah ibu kota (KLCC) dan kini Siti banyak masa bercuti ke luar negara. Awal bulan depan, pasangan bahagia ini berlepas ke Tanah Suci dengan pakej VIP.
Cerita terbaru yang bertiup kencang kini, pastinya membuatkan ramai wanita bergelar isteri yang iri hati kerana Siti dikatakan menerima hadiah istimewa daripada suami sempena ulang tahun pertama perkahwinan mereka Ogos lalu. Siti dihadiahkan mahligai mewah bernilai RM10 juta.
Limpahan kemewahan dan kasih sayang sememangnya menjadi impian semua orang tapi bukan semuanya bertuah seperti Siti. Ada yang dilimpahi kemewahan tapi hidup sunyi begitu juga sebaliknya.
Populariti Siti juga tidak terjejas selepas kahwin. Siti terus jadi pilihan menyanyikan lagu tema filem atau drama bersiri. Cerita Siti dalam akhbar dan majalah juga tidak pernah sepi, begitu juga undangan menjayakan program televisyen dan juga pementasan teater.
Perancangan album baru juga disusun selepas Transkripsi awal tahun lalu. Kali ini sasarannya untuk pasaran Disember tahun ini juga. Ikut perancangan asal, Siti mahu menghasilkan album tradisional tetapi kerana kesukaran mendapatkan lagu, konsep pop sekali lagi jadi pilihan.
Selepas pulang dari Makkah nanti, Siti terus jadi tumpuan apabila sibuk dengan promosi album kemudian muncul di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 (ABPBH07) dan album barunya dicalonkan di Anugerah Industri Muzik (AIM). Kalau tidak cerita kerjaya, cerita melawat orang sakit atau kanak-kanak bertuah, tetap jadi tumpuan.
Apabila bertemu Siti dalam majlis Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 (ABPBH07) di Palace Of The Golden Horses, Seri Kembangan Selasa lalu, semua itu ditanyakan kepada Siti.
Kali ini Siti juga bergegas pulang sebaik selesai mempersembahkan lagu Mulanya Cinta. Kakak ipar Siti, Rozie Abdul Razak memberi sedikit masa kepada wartawan menemubual Siti.
Kata Siti, sebenarnya pada malam Muzik Muzik 22 itu dia ada dua undangan yang tidak dapat dielakkan. Satu majlis kahwin dan satu lagi undangan dari pihak istana.
Sekali lagi Siti mempertaruhkan lagu Destinasi Cinta untuk kategori pop rock. Keputusannya diumumkan malam tadi. Kata Siti untuk pop rock dia juga sibuk hingga ada latihan yang tidak dapat disertai. Tidak tahulah apakah Siti menanti keputusan diumumkan.
Bagi saya, komitmen Siti pada nyanyian kini berbeza tetapi persamaannya tetap sibuk memenuhi undangan menyanyi. Kalau dulu bekerja memenuhi undangan menyanyi hingga tiada masa untuk hal lain tetapi kini lebih kepada undangan hal lain.
Siti pernah mengakui jadual waktunya tetap sibuk memenuhi macam-macam undangan hinggakan pada hujung minggu sampai enam majlis sehari.
Dulu semua itu tidak dapat dipenuhi kerana sibuk bekerja.
Selain Siti, seorang lagi artis bergelar isteri yang terus jadi tumpuan ialah Erra Fazira. Peminatnya akan dapat menyaksikan lakonannya dalam beberapa filem yang dijayakan sebelum berkahwin dengan Engku Emran Engku Zainal Abidin kira-kira sebulan lalu.
Apabila Erra tidak hadir di majlis pelancaran filem terbarunya, Cuci pada 16 November lalu, ada mengatakan Erra belum bersedia bersemuka dengan Hans Isaac selepas kontroversi mereka sebelum ini.
Sebelum ini apabila Erra tidak hadir di Festival Filem Malaysia ke-20 (FFM20) pada 4 Ogos lalu isu sama dibangkitkan tapi alasan Erra dia ada undangan menyanyi. Begitu juga alasan Erra apabila tidak hadir di majlis Cuci kerana ada komitmen lain di Johor dan ia sudah dinyatakan lebih awal.
sumber: harian metro online
|
|
|
|
|
|
|
|
Oleh Hartati Hassan Basri
Rap |
 |
TIADA apa dikesalkan Datin Seri Siti Nurhaliza apabila pertaruhannya melalui lagu Bisakah di peringkat separuh akhir Muzik Muzik 22 Ahad lalu, gagal menempah tiket ke Anugerah Juara Lagu 22 (AJL22). |
Malah Siti mengakui puas hati dengan persembahannya pada malam itu kerana berjaya menyampaikan lagu ciptaan Aubrey Suwito dan lirik Tessh R S itu dengan baik, tetapi apakan daya tiada rezeki lagu itu layak ke peringkat akhir.
“Bagi saya tiada apa yang perlu dikesalkan atau dipertikaikan atas kegagalan lagu itu. Malah saya lihat lima lagu yang dipilih juri benar-benar menonjol.
“Saya juga tidak bersetuju kalau ada yang mengatakan lagu Bisakah tidak begitu kuat kerana ia mempunyai keistimewaannya baik dari segi melodi dan juga lirik. Lagu itu single terakhir saya dan jarang diputarkan di radio.
“Sebenarnya saya jarang bawakan lagu itu dan ia susah untuk dinyanyikan. Apapun saya berjaya menyampaikannya dengan baik dan saya puas hati dengan persembahan saya pada malam itu.
“Apa boleh buat kerana lagu itu tidak ada rezeki ke final,” katanya ketika ditemui pada majlis Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 (ABPBH07), Selasa lalu.
Bagaimanapun Siti menafikan dia sengaja pulang awal dan tidak menunggu keputusan lima lagu yang layak ke peringkat akhir diumumkan kerana takut kalah. Siti mengatakan, dia terpaksa bergegas pulang sebaik selesai menyampaikan lagu itu kerana ada komitmen lain.
“Sebenarnya pada malam itu saya ada tiga undangan menyanyi. Selain separuh akhir Muzik Muzik 22, saya juga perlu menghadiri dua undangan lain yang tidak dapat dielakkan selepas itu.
“Itu sebabnya saya meminta jasa baik TV3 supaya giliran saya diawalkan walaupun mengikut cabutan nombor giliran, saya diberi nombor lapan,” katanya.
Dalam separuh akhir Muzik Muzik 22 yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Ahad lalu, Siti sepatutnya menyanyi giliran kelapan tetapi minta dipercepatkan. Siti mendapat giliran kedua selepas persembahan Idayu.
Ketiadaan Siti bersama barisan penyanyi lain ketika keputusan diumumkan, turut mengundang spekulasi apabila Bisakah gagal melayakkan diri ke peringkat akhir bersama Harapan, Mahakarya Cinta, Ceritera Cinta, Kasih Tercipta dan Izinku Pergi.
Siti sekali lagi disebut-sebut punya harapan cerah menang untuk kategori pop rock pada Ahad ini apabila mempertaruhkan lagu Destinasi Cinta ciptaan Lin Li Zen dan lirik PSSN.
Turut bertanding Aku Pencintamu (Ajai/Ajai) yang dipersembahkan Felix, Angan Dan Sedar (M. Nasir/Loloq/Mawi), Janjiku (Taja/Tass/Sofaz), Percayalah Sayang (Vince/M. Zulkifili/Vince), Farhana Putri Bumi Kenyalang (Denai/Andy Rahman/Jinbara), Tiga Malam Tanpa Bintang (Master G/Azmeer/Fiq), Sembunyi (Aidit Alfian/Loloq/Misha Omar dan Andy Flop Poppy), Itu Kamu (Estranged/Rachael Lawrence/Estranged) dan Satu Harapan (Audi Mok/Nurfatimah/Jac).
Katanya, dia tidak mahu menaruh sebarang harapan sebaliknya cuba melakukan yang terbaik untuk memberi kepuasan kepada dirinya dan juga peminat.
“Kalah atau menang perkara kedua. Saya akan cuba bawakan lagu itu sebaik mungkin,” katanya.
Dalam majlis sidang media pertama ABPBH07 yang turut dihadiri Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times Press (M) Sdn Bhd, Datuk Hishamuddin Aun dan Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd, Datuk Manja Ismail, Siti turut membuat persembahan bersama Farawahida dan Faizal AF4.
Siti menyampaikan lagu Mulanya Cinta yang dinyanyikannya ketika menjayakan teater The Musical P Ramlee di Istana Budaya, bulan lalu. Siti yang ditemani kakak iparnya, Rozie Abdul Razak, bergegas pulang sebaik saja selesai menyampaikan lagu itu kerana ada urusan lain.
Isteri ahli perniagaan, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa itu juga akan menunaikan haji awal bulan depan dan berada di Tanah Suci selama dua minggu. Bagaimanapun Siti tidak mahu berjanji apakah kepulangannya nanti bersama imej baru memakai tudung.
sumber:harian metro online
|
|
|
|
|
|
|
|
Oleh Mohd Nasif Badruddin
Rap |
KEMUNCULAN Datin Seri Siti Nurhaliza kembali memeriahkan Muzik-Muzik selepas dua tahun menyepi daripada pertandingan lagu anjuran TV3 dikatakan bakal melalui jalan mudah untuk menempah lima lagu yang layak ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu ke-22 (AJL22), esok. |
KEMUNCULAN Datin Seri Siti Nurhaliza kembali memeriahkan Muzik-Muzik selepas dua tahun menyepi daripada pertandingan lagu anjuran TV3 dikatakan bakal melalui jalan mudah untuk menempah lima lagu yang layak ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu ke-22 (AJL22), esok.
Siti yang sering mendominasi AJL sejak 1996 menerusi lagu Jerat Percintaan, kembali tahun ini mempertaruhkan lagu Bisakah ciptaan Aubrey Suwito dan lirik Tessh RS untuk berentap dalam separuh akhir kategori balada. Ia disiarkan secara langsung menerusi TV3, jam 9 malam dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam.
Meskipun sudah setahun berkahwin, ternyata populariti yang diraihnya tidak pernah luntur. Sebaliknya kelunakan vokal dan penghayatan lagunya kian meningkat dan dikagumi ramai.
Naib johan One In A Million (OIAM), Faizal Tahir yang pertama kali menyertai AJL juga diramal mempunyai peluang cerah apabila dipertanggungjawabkan menyampaikan lagu Mahakarya Cinta ciptaan Audi Mok dan lirik Mohd Shariza Shamsiri dan Kasih Tercipta (Ajai/Shuhaimi Baba).
Walaupun kedua-dua lagu yang dinyanyikannya sama hebat dan mendapat sambutan ramai, populariti Mahakarya Cinta yang dinyanyikannya ketika pertandingan akhir OIAM dikatakan lebih menonjol berbanding lagu Kasih Tercipta yang menjadi tema filem Waris Jari Hantu.
Selain Faizal, Fazli Zainal juga muncul dengan dua lagu, Harapan ciptaan dan lirik Hazami serta Sejuta Nafas Cinta (Hazami/Loloq). Pun begitu, lagu berirama perlahan, Harapan lebih mendapat perhatian ramai berbanding Nafas Cinta.
Walaupun agak mendayu, Harapan sering dimainkan di radio kerana liriknya yang mudah difahami dan melodi yang indah.
Dua lagi lagu dijangka mara ke peringkat akhir ialah Hilang ciptaan Audi Mok dan lirik Bash yang dinyanyikan Diddy serta Ceritera Cinta (Ross Ariffin/Habsah Hassan), dinyanyikan Jaclyn Victor dan Rio Febrian.
Hilang dan Ceritera Cinta mempunyai harapan bukan saja kerana menampilkan irama segar, juga melodi baru yang disifatkan unik dan lain daripada biasa.
Lagu Andainya nyanyian Nieyl (Hadi Hassan/J Looi) dan Paluan Rindu Mu nyanyian Idayu (ciptaan M Nasir/lirik Keon) tidak wajar dipandang sebelah mata.
Begitu juga lagu Izinku Pergi ciptaan Azlan Abu Hassan dan lirik Sulu Sarawak, nyanyian asal Kaer tetapi akan dinyanyikan Sahri kerana Kaer melanjutkan pelajaran di Jakarta, Indonesia. Jika tahun lalu Azlan menang besar dengan lagu Terlalu Istimewa (Adibah Noor), lagu ini juga mempunyai kelebihan tersendiri dan bakal memberi saingan sengit.
Walaupun pertambahan bilangan lagu kategori balada yang layak ke peringkat akhir bertambah daripada empat kepada lima tahun ini, ia tidak bermakna juri mengambil mudah soal pemarkahan kerana penilaian tetap sama dan saingan yang ditonjolkan peserta memang sengit.
Biarpun separuh akhir balada kali ini banyak menampilkan penyanyi muda, ia tidak bermakna kualiti mereka rendah dan persembahan ‘ala kadar’ saja. Terbukti lagu nyanyian mereka mendapat sambutan ramai dan sering menjuarai pertandingan seumpamanya sebelum ini.
Sekalipun ramalan awal mengatakan lagu Bisakah, Mahakarya Cinta, Harapan, Hilang dan Ceritera Cinta bakal mara ke peringkat akhir, lagu lain juga mempunyai kekuatan tersendiri dan sukar sebenarnya membuat telahan awal.
Persembahan peserta malam esok akan dinilai juri profesional terdiri daripada Pengarang Hiburan Harian Metro, Adam Salleh, penulis lirik Amran Omar bersama tiga komposer, Iman Wan, Khairil Johary Johar dan Edry KRU serta Pengurus Besar Jabatan Hiburan, Sukan dan Rekreasi TV3, Azhar Borhan selaku ketua juri.
sumber: harian metro
|
|
|
|
|
|
|
|
KUALA LUMPUR 13 Nov. – Impian penerima jantung baru, Tee Hui Yee untuk bertemu idolanya, Siti Nurhaliza akhirnya tercapai apabila penyanyi tersohor itu meluangkan masa mengunjunginya di Institut Jantung Negara (IJN) hari ini.
Gadis itu jelas tergamam apabila Datin Seri Siti Nurhaliza Taruddin tiba-tiba muncul bersama Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Chan Kong Choy dan isteri, Datin Seri Lai Yoke Lan pada pukul 9.30 pagi.
‘‘Peminat.’’ Itulah perkataan pertama yang disebut Hui Yee kepada artis pujaannya itu sehingga membuatkan Siti sebak dan dilihat mengesat air mata.
Dalam pertemuan singkat itu, Siti sempat menghadiahkan cakera padat album terbarunya yang ditandatangani beliau manakala Kong Choy pula memberikan sejambak bunga dan buku senaman Cina berjudul Qi Gong.
Sebelum beredar meninggalkan pekarangan ruang tamu wad, Hui Yee seolah-olah tidak mahu melepaskan Siti apabila dia menggenggam erat tangan penyanyi itu dan mereka berpelukan seketika.
Kisah Hui Yee yang menderita sakit jantung mendapat liputan meluas media setelah kempen mencari jantung untuknya digerakkan oleh Utusan Malaysia.
Hui Yee terpaksa menjalani pembedahan pemindahan jantung kali kedua pada pagi 5 Oktober lalu, setelah tubuhnya tidak menerima jantung pertama yang didermakan kepadanya.
Sebelum itu, Hui Yee menggunakan jantung mekanikal sejak 29 September tahun lalu.
Dia sebelum ini, ada menyatakan hasratnya untuk berjumpa penyanyi pujaan ramai itu selain artis program realiti Akademi Fantasia (AF4), Lotter.
Siti ketika ditemui pemberita selepas pertemuan itu berkata, dia berasa sangat terharu dengan ketabahan gadis itu yang terpaksa melalui saat-saat getir dalam hidup.
‘‘Dia betul-betul ada kekuatan dalaman. Saya lihat Hui Yee begitu gembira sekali bertemu saya dan saya ada memberi kata-kata semangat kepadanya supaya cekal mengharungi cabaran,’’ katanya.
sumber: harian metro online
|
|
|
|
|