Jun
06
    
Posted (admin) in International, utusan malaysia online, Career on June-6-2008

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL

shazryn.faizal@utusan.com.my

SETELAH enam tahun dianjurkan, akhirnya bumi bertuah Malaysia dipilih sebagai tuan rumah majlis penganugerahan terulung di Asia iaitu MTV Asia Awards (MAA) pada 2 Ogos depan di Arena of Stars, Genting Highlands.

Sudah pasti, apabila pihak MTV Asia mengambil keputusan untuk mengadakan acara anugerah tersebut, ia merupakan satu langkah yang baik untuk memperkenalkan lagi nama Malaysia di peta dunia.

Ini kerana, sebelum ini, banyak pihak yang mempersoalkan bilakah pula giliran Malaysia untuk menjadi negara tuan rumah kerana sepanjang MAA diadakan, hanya Singapura dan Thailand sahaja yang dipilih sebagai negara tuan rumah.

Bahkan, negara-negara Asia yang lain juga amat jarang sekali diberi peluang untuk mengendalikan acara industri muzik berpengaruh di rantau ini.

Persoalannya, apakah hanya Singapura dan Thailand sahaja berkemampuan untuk menganjurkan MAA?

Pada sidang media MAA 2008 yang diadakan di ibu negara baru-baru ini, persoalan itu dibangkitkan kepada Pengarah Urusan yang juga merangkap sebagai Naib Presiden Eksekutif MTV Networks India, China dan Asia Tenggara, Amit Jain.

Menurut Amit, sejak awal penganjuran MAA lagi, pihaknya sudah menyimpan keinginan untuk menganjurkannya di Malaysia dan mengamalkan konsep bergilir dalam memilih tuan rumah.

Bagaimanapun, ketika itu, pihaknya mahu melihat sejauh mana MAA ini mampu menarik perhatian pencinta muzik di rantau ini.

Tidak perlu menunggu lama, Amit dan seluruh pengurusan penganjur MAA semakin optimis bahawa MAA sudah menjadi satu jenama penting dalam menarik perhatian peminat muzik khususnya kalangan generasi muda.

“Dalam pertemuan saya dengan pelbagai pihak, kami memutuskan untuk memilih Malaysia sebagai tuan rumah kerana kelebihan Malaysia terletak kepada keunikannya yang mampu menarik perhatian masyarakat dunia khususnya untuk mengetahui lebih dalam tentang Malaysia,” jelasnya.

Pada sidang media itu juga, Amit menjelaskan, MAA masih mengekalkan prosedur yang sama seperti mana kali pertama MAA diadakan pada tahun 2002.

Begitu juga dengan pemilihan artis yang akan membuat persembahan pada malam gilang-gemilang itu dan mereka yang akan menjadi penyampai anugerah.

“Kali ini, kami mahu tonjolkan bakat-bakat dari seluruh Asia kerana kami percaya mereka mempunyai bakat yang tersendiri dan mampu pergi jauh.

“MAA adalah pembuka jalan mereka untuk menonjolkan bakat kepada negara luar,” ujarnya sambil menjanjikan persembahan MAA kali ini akan jauh lebih baik dan hebat berbanding tahun-tahun sebelumnya.

MAA 2008 dijangka ditonton lebih daripada 291 juta orang penduduk di seluruh dunia dan peluang itu sudah tentu yang sangat penting khususnya buat artis-artis dari Malaysia untuk membuktikan kemampuan mereka.

Namun begitu, buat masa ini, pihak MTV Asia tidak akan mengumumkan senarai artis yang terlibat kerana belum ada sebarang keputusan muktamad berhubung artis yang terpilih bagi memeriahkan MAA 2008.

Bagaimanapun, MAA 2008 akan dikendalikan oleh penyanyi utama kumpulan 30 Second To Mars, Jared Leto.

Barangkali juga, peminat jejaka kacak ini lebih mengingatinya sebagai pelakon dan antara filem lakonannya ialah Alexander, Panic Room, Requiem For A Dream, Girl, Interrupted, Fight Club dan Urban Legend.

Seperti lazimnya juga, MAA 2008 mempertaruhkan sembilan kategori yang memerlukan undian para peminat dalam memilih artis kegemaran yang mewakili sembilan negara Asia.

Bukan itu sahaja, MAA 2008 turut menampilkan tujuh kategori anugerah muzik antarabangsa yang diadili oleh pihak juri yang telah dipilih.

Mengenai artis yang bakal mewakili Malaysia bagi kategori Artis Pilihan Malaysia, tiga nama besar ini iaitu Datuk Siti Nurhaliza, Faizal Tahir dan Anuar Zain merupakan antara yang disebut-sebut untuk disenaraikan dalam Top 5 bagi kategori tersebut.

Untuk kelainan juga, tahun ini MAA menganjurkan pertandingan “So You Wanna Be A Presenter” di mana penonton setia MTV di seluruh Asia (di Malaysia, saluran 713, Astro) boleh menghantar video mengenai diri mereka.

Pemenangnya kelak akan mendapat layanan VIP secara eksklusif di samping berpeluang menjadi salah seorang penyampai anugerah bersama artis.

Bukan itu sahaja, mereka juga akan ditempatkan bersebelahan dengan artis pujaan mereka di dalam dewan.

Namun, itu semua hanyalah ramalan sahaja berdasarkan prestasi dan kejayaan yang mereka kecapi dalam kerjaya mereka.

Bagi mengetahui dengan lebih lanjut, siapakah lima calon artis yang mewakili Malaysia dan negara Asia yang lain, pastikan anda melayari laman web www.mtvasiaawards.com bermula 14 Jun ini untuk mengundi artis kegemaran anda dan seterusnya mengetahui siapakah yang bakal membuat persembahan pada malam itu nanti.

sumber: utusan malaysia online


 
Jun
04
    
Posted (admin) in Event, calmille.free.fr, Career on June-4-2008

Our darling Siti Nurhaliza has been nominated in two categories at the annual EH! awards. She’s nominated for Selebriti Pencapaian Terbaik and Selebriti Pilihan Kulit Majalah.

Please vote before 31 July 2008.

to vote, click here