Runut bunyi sentuhan diraja
Oleh Ramlah Zainal

BELUMPUN filem Kayangan ditayangkan di pawagam, bahangnya sudahpun terasa dengan pelancaran album runut bunyinya atau ‘Kayangan The Soundtrack’ di Ballroom, Hilton KL Sentral di sini, baru-baru ini.
Penerbitan album runut bunyi itu membabitkan kerjasama Raden Pictures Sdn Bhd (RPSB), Wake The Baby Records (WTBR) dan Maestro Records.
Album runut bunyi itu juga adalah sebagai kesinambungan dari filem Kayangan arahan Raja Ahmad Alauddin terbitan RPSB dan bakal menjengah pawagam seluruh negara bermula 9 Ogos nanti.
Filem genre romantik komedi ini menampilkan barisan pelakon berbakat besar seperti Nor Fazura Sharifuddin, Teuku Zacky Azwar (Indonesia), Razali Hussin, Opie Zami, Eja, Dynaz Mokhtar, Nazril Idrus, Julia Ziegler (Indonesia) dan Bienda.
Pengarah Urusan WTBR selaku penerbit album ini, Mohd Faizal Maas atau lebih dikenali sebagai Ajai berkata, Kayangan adalah kisah percintaan remaja, kehidupan dan konflik yang wujud dalam sebuah perhubungan yang sangat indah dan memerlukan pengorbanan.
“Filem ini menjanjikan satu pengalaman indah kepada penonton dan saya pula menjanjikan rangkaian lagu yang mengasyikkan dengan penampilan artis popular tanah air seperti Datuk Siti Nurhaliza (Menanti Pasti), Ning Baizura (Ungkapan Terindah), Siti Sarah (Cara Yang Berbeza), Zahid (Perlukah menampilkan Shazzy) dan Farah AF2 (Gembira Hidup Ini).
“Selain itu, penampilan artis naungan WTBR, Sad Angry Babies (Sabarlah dan Terakhir).
Lebih bermakna, album ini juga menampilkan buat julung kalinya duet saya dengan Tunku Datuk Seri Mimi Wahida Wahman (Tunku Mimi) menerusi lagu tema filem ini, Kayangan,” katanya.
Ajai berkata, pembikinan album runut bunyi itu mengambil tempoh dua bulan termasuk dari segi perancangan, rakaman dan sebagainya lagi.
“Pihak kami percaya, menerusi kerjasama dalam pembikinan filem dan album runut bunyi ini, ia dapat membantu meningkatkan lagi pencapaian industri hiburan dan perfileman tanah air ke tahap yang lebih baik,” katanya.
Ajai berkata, album yang diterbitkan WTBR itu mengandungi 11 lagu dan sembilan lagu dalam album itu mendapat sentuhannya selaku komposer album berkenaan.
“Tidak ketinggalan, album ini juga mendapat sentuhan dari penulis lirik tidak asing lagi seperti Loloq, Abie Abdullah dan Musa (Exists).
“Single pertama yang kami tampilkan untuk pasaran Malaysia ialah Kayangan dendangan saya dan Tunku Mimi dan single kedua ialah lagu dendangan Siti Sarah (Cara Yang Berbeza). Manakala, single untuk pasaran Indonesia pula ialah lagu dendangan Siti (Menanti Pasti).
“Album ini sudahpun menjengah pasaran dan pihak Maestro pula bertanggungjawab dari segi pengedaran, jualan dan promosi untuk album ini.
“WTBR juga bertanggungjawab untuk menghasilkan klip video untuk semua lagu yang terdapat dalam album ini,” katanya ketika ditemui selepas acara menandatangani perjanjian persefahaman (Mou) membabitkan RPSB,WTBR dan Maestro Records.
Manakala, Pengarah Eksekutif RPSB, Tunku Datuk Seri Nadzaruddin Tuanku Ja’afar berkata, tumpuan dan komitmen 300 peratus diberikan dalam merealisasikan filem sulung mereka itu.
“Semuanya bermula bila isteri saya, Mimi Wahida memberikan idea untuk menghasilkan sebuah filem mengisahkan percintaan antara dua insan berbeza darjat dan situasi kehidupan.
“Dari sebuah skrip cadangan ia diinterpretasikan kepada filem cereka penuh yang pastinya bakal menghiburkan penonton di seluruh tanah air,” katanya.
Tunku Nadzaruddin berkata, pihaknya juga ingin menghasilkan filem yang berkualiti dari segala aspek dan pada masa sama album runut bunyi yang memuatkan lagu dari filem Kayangan.
“Alhamdulillah, akhirnya kami berjaya mengharungi segala pahit getir bukan saja dalam menerbitkan filem komedi romantik ini tetapi juga sebuah album runut bunyi yang julung kali diterbitkan bagi filem tempatan.
“Gabungan barisan pelakon yang berbilang kaum termasuk dari Indonesia juga membangkitkan elemen muhibah dan ia selaras dengan aspirasi negara untuk membina teras muhibah merentasi budaya, bangsa dan agama. “Semoga usaha ini mencetuskan peluang buat barisan pelakon tanah air untuk menimba pengalaman berlakon dalam filem terbitan Indonesia, Singapura, Thailand, Filipina dan negara lain pula pada masa depan sekali gus merangsang peningkatan dalam industri perfileman tanah air,” katanya.
Tambah beliau lagi, album runut bunyi Kayangan itu mengandungi pelbagai irama seperti balada, R&B, soul, hip-hop dan rock yang berjaya digabungkan dalam sebuah album yang dijayakan artis tersohor dan meningkat naik di persada seni tempatan.
“Album ini juga sebagai jambatan yang dapat merapatkan jurang penerimaan rentak irama antara golongan muda dan veteran,” katanya.
Katanya lagi, dari segi pemilihan penyanyi yang menjayakan album runut bunyi itu diputuskannya bersama isteri dan Ajai sendiri.
“Ajai buat demo dulu dan selepas itu baru kami bertiga putuskan lagu yang mana sesuai dengan range Siti, Siti Sarah dan artis lain yang kami tampilkan dalam album ini.
“Mula-mula kami buat filem dulu dan selepas itu baru kami cari lagu yang sesuai dimuatkan dalam album runut bunyi filem ini,” katanya.
Sementara itu, Tunku Mimi pula berkata, peluang berduet dengan Ajai dan bekerja dengannya di studio adalah pengalaman baru buatnya.
“Saya suka menyanyi dan peluang menyanyikan lagu tema untuk Kayangan ini saya anggap cabaran yang tidak wajar dilepaskan.
“Saya juga mengambil masa satu minggu untuk berlatih menyampaikan dua lagu iaitu genre rock dan versi orkestra. Saya suka kedua-duanya sekali.
“Alhamdulillah, dengan bimbingan Ajai saya mampu melaksanakan seperti dikehendakinya,” katanya.
Namun begitu, Tunku Mimi berkata, dia tidak pula merancang untuk serius menyanyi pula selepas ini.
“Saya menyanyi hanya sekadar hobi saja dan mengisi masa lapang di rumah,” katanya.
MENANTI PASTI ( SITI NURHALIZA)
kegelapan mlm ini menyesakkan jiwa
tanpa bintang utk aku mimpikan mimpimu
aku…merindu indah bulan
menyuluh kelam mlm
mgharap bintang akan bersinar
kesepian hati ini mengundang derita
penantian satu seksa bila tanpa balas
aku…menanti kata hati
darimu satu pasti
mengharap mimpi akan hakiki
CHORUS
cinta
bisikkanlah asmaraku
padanya gelora dikalbu
hembusan nafas ini hanyalah kepadanya
mencintai setulus hati
cinta
bukakanlah asmaranya
padaku setia mengunggu
antara kau dan aku ada persamaan
untuk cinta bersemi nanti
andai ada di hatimu….
ruang cinta itu
kan ku simpan anugerah
ke akhir hayatku
menanti pasti….
lagu oleh Ajai