DIAM tak diam, Anugerah Industri Muzik Ke-15 (AIM15) sudah pun hampir ke destinasinya. Malam esok bakal menyaksikan mereka yang bakal dinobatkan dengan gelaran terbaik dalam 18 kategori yang dipertandingkan.Sudah pastinya, ramai yang menanti dalam debar untuk mengetahui sama ada artis pujaan mereka akan membawa pulang trofi anugerah berprestij itu.
Salah satunya adalah kategori Lagu Terbaik yang memperlihatkan tahun ini, lima buah lagu yang dicalonkan memberikan saingan yang cukup hebat sementelah kelima-limanya hadir dalam jalur muzik yang berbeza.
Apa yang pasti lagu terbaik tidak semestinya merupakan karya yang popular kerana apa yang paling diutamakan adalah nilai-nilai estetika dan kualiti dalam setiap karya yang dilahirkan.
Calon-calon Lagu Terbaik AIM15
l Itu Kamu
Komposer: Estranged
Penulis Lirik: Richael L. Gimbang
Penyanyi: Estranged
l Izinku Pergi
Komposer: Azlan Abu Hassan
Penulis Lirik: Sulu Sarawak
Penyanyi: Kaer Azami
l Mahakarya Cinta
omposer: Audi Mok
Penulis Lirik: Shah Shamsiri
Penyanyi: Faizal Tahir
l Menanti Pasti
Komposer: Ajai
Penulis Lirik: Abie Abdullah
Penyanyi: Siti Nurhaliza
l Sekian Lama
Komposer: Azlan Abu Hassan
Penulis Lirik: Azlan Abu Hassan & Azalea
Penyanyi: Siti Nurhaliza
Ramalan Hits?Saban tahun, kategori ini paling sukar untuk diramalkan kerana semuanya berpotensi untuk membawa pulang gelaran Lagu Terbaik.
Apatah lagi, dengan pengiktirafan ini membuktikan hasil karya seseorang komposer dan penulis lirik itu dihargai oleh panel juri yang bijak menentukan komposisi lagu yang terbaik.
Mungkin ramai yang beranggapan lagu yang popular itu merupakan lagu yang terbaik tetapi sebenarnya, anggapan itu tidak boleh diguna pakai setiap masa.
Melihatkan lima calon lagu terbaik kali ini, sudah pasti ia merupakan kategori yang cukup menarik untuk diperkatakan. Masakan tidak, daripada lima calon ini, dua nama besar industri muzik iaitu Azlan Abu Hassan dan Ajai pernah memenangi kategori ini sebelum ini.
Azlan Abu Hassan pernah memenangi Lagu Terbaik sebanyak tiga kali iaitu Selamanya oleh Innuendo pada tahun 1998, Menyemai Cinta Bersamamu -Nora (2001) dan Keabadian Cinta - Anuar Zain (2003).
Seperti mana Azlan, Ajai juga pernah memenangi kategori ini sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 1999 menerusi lagu Aku Cinta Aku Rindu yang dinyanyikannya bersama bekas isterinya, Nurul, Seandainya Masih Ada Cinta -Dayang Nurfaizah (2002) dan Selagi Ada Cinta - Ning Baizura (2004).
Menerusi lagu Menanti Pasti, Ajai memberikan dimensi baru kepada hasil karyanya yang kali ini dia mempertaruhkan irama waltz dalam memberi satu kelainan dalam komposisi lagunya.
Ditambah pula dengan lirik oleh Abie Abdullah dan penyampaian yang cukup membelai jiwa oleh Datuk Siti Nurhaliza menjadikan Menanti Pasti sebuah karya yang unik dan mampu memberikan kejutan pada malam AIM15 nanti walaupun lagu berkenaan kurang mendapat tempat di radio.
Bagi Azlan pula, lagu Sekian Lama juga memberikan satu pendekatan berbeza terhadap karya-karyanya sebelum ini.
Terkenal sebagai seorang yang begitu bijak memberikan pendekatan baru dalam setiap lagu yang dihasilkannya, Sekian Lama juga mampu memikat juri dengan iramanya yang begitu indah dan melankolik sekali.
Siapa tahu, gabungannya bersama Azalea akan membuahkan hasil seperti mana kejayaan yang mereka kecapi menerusi lagu Keabadian Cinta.
Izinku Pergi yang juga merupakan ciptaan Azlan dilihat sebagai salah sebuah lagu yang diramalkan memenangi kategori ini. Susunan muzik serta melodi dan ditambah pula dengan lirik puitis yang syahdu karya Sulu Sarawak, sudah cukup melengkapkan Izinku Pergi sebagai sebuah lagu yang hebat.
Mahakarya Cinta juga mampu memberikan saingan yang cukup hebat dalam kategori ini. Dianggap sebagai mahakarya komposernya, Audi Mok dan penyampaian penyanyinya, Faizal Tahir membuatkan perjalanan cerita Mahakarya Cinta begitu berbekas.
Namun, jangan dipandang enteng pada kehebatan lagu Itu Kamu ciptaan sepenuhnya oleh kumpulan Estranged. Siapa tahu perubahan yang mereka bawakan membawa tuah kepada mereka sekali lagi setelah menang besar pada malam Anugerah Juara Lagu, Januari lalu.