May
01
    
Posted (admin) in utusan malaysia online, Career on May-1-2008

KEHANGATAN Anugerah Industri Muzik Ke-15 (AIM15) makin dirasai. Hanya tinggal tiga hari sahaja lagi anugerah muzik berprestij itu akan menemui peminat hiburan tempatan.

Buat masa ini, pastinya ramai yang mula membuat ramalan sesama sendiri siapakah yang bakal membawa pulang anugerah dalam 18 kategori yang dipertandingkan.

Salah satu kategori yang menjadi sebutan saban tahun sudah pastinya adalah Persembahan Vokal Wanita Terbaik. Tahun ini juga memperlihatkan lima orang calon yang cukup hebat serta mempunyai mutu suara yang berbeza. Pastinya ia memerlukan ‘kerja keras’ para juri untuk menentukan pemenangnya.

Persembahan Vokal Wanita Terbaik

Di Dalam Album

Calon-calon:

* Atilia (Sangkar)

* Dayang Nurfaizah (Dayang 2007)

* Elyana (Jadi Diriku)

* Karen Kong (Mulakan)

* Siti Nurhaliza (Hadiah Daripada Hati)

Apa Kata Hits?

Persoalan yang timbul, adakah Datuk Siti Nurhaliza mampu memenangi semula kategori ini setelah tewas di tangan Jaclyn Victor tahun lalu?

Ada yang berpendapat vokal lunak Siti tidak begitu menyerlah dalam album Hadiah Daripada Hati (HDH) berbanding kehebatan vokal Siti dalam album Transkripsi.

Sekali gus, ramai yang mula membuat andaian peluang Siti agak tipis untuk memenanginya kali ini tetapi siapa tahu, rezeki menjadi milik Siti semula. Sebarang kemungkinan boleh berlaku. Hakikatnya, siapa yang mampu menidakkan kehebatan vokal Siti.

Jika tidak, masakan dia mampu memenanginya untuk lapan tahun berturut-turut dan itu merupakan satu rekod yang belum mampu diraih oleh mana-mana penyanyi wanita dalam masa yang terdekat ini.

Atilia yang terkenal dengan suaranya yang merdu dan manja itu juga mampu membuat kejutan untuk memenangi kategori ini. Berbelas tahun terlibat dalam nyanyian lagu-lagu iklan sudah pasti memberikan banyak pengalaman untuknya dalam mengekspresi vokalnya menerusi album sulungnya, Sangkar.

Pernah dicalonkan beberapa kali sebelum ini, mungkin album Dayang 2007 menjadi penebus kekecewaan buat Dayang Nurfaizah. Lontaran dan permainan vokalnya dalam albumnya itu menjadikan Dayang merupakan antara penyanyi wanita yang mempunyai karakter tersendiri dalam menyampaikan lagu-lagu.

Namun begitu, Elyana yang cukup menyerlah dalam album Jadi Diriku tidak harus dipandang sebelah mata dan dia juga mampu memberikan kejutan kerana dia cukup bijak memainkan vokalnya dalam setiap lagu dalam albumnya itu.

Siapa tahu, rezeki mungkin boleh menjadi milik Karen Kong yang ternyata menjadi calon bukan pilihan kali ini. Lagu Ku Tak Upaya dan Cinta Hello Kitty sedikit sebanyak membuka mata pendengar tempatan bahawa penyanyi bukan Melayu juga mampu memberikan kelainan dalam industri hiburan tempatan.

Apa yang harus diingat adalah, penelitian aspek vokal terbaik bukanlah berdasarkan kepada kemampuan seseorang penyanyi itu mampu membawa lagu-lagu bernada tinggi mahupun melakukan sesuatu yang luar biasa dengan vokal yang ada dalam diri mereka.

Sebaliknya, vokal terbaik itu adalah bagaimana seseorang penyanyi mampu menginterpretasi setiap lagu dalam album mereka dengan baik menerusi teknik nyanyian yang berbeza.

Apa pun keputusannya kelak, terima sahaja dengan hati terbuka kerana setiap calon ada keistimewaan masing-masing dan yang tewas, bukan bermakna anda tidak bagus. Cuma, bukan menjadi rezeki anda sahaja.

sumber: utusan malaysia online


Post a comment
Name: 
Email: 
URL: 
Comments: