Mar
04
    
Posted (admin) in harian metro online, Career on March-4-2008

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap
SELEPAS memegang status isteri dan tampil dengan imej bertudung, Zoom In@ RTM adalah penampilan pertama Datuk Siti Nurhaliza di kaca televisyen.

Kali terakhir, penyanyi nombor satu tanah air ini muncul di kaca televisyen ialah ketika menjayakan Konsert Fenomena dan Zoom In@ RTM, tidak lama dulu.

Justeru tidak hairanlah, Zoom In @ RTM bersama Siti yang disiarkan secara langsung di Auditorium Perdana, Angkasapuri, malam kelmarin memang dinantikan peminatnya.

Secara peribadi, Siti sendiri mengakui dia cukup gembira dapat menghiburkan peminatnya pada malam itu.

“Maklumlah, saya sudah lama tidak muncul di kaca televisyen. Saya difahamkan auditorium sesak pada malam ini dan ramai peminat tidak dapat masuk ke dalam auditorium.

“Saya berharap, peminat juga berjanji memberi sambutan yang sama bila saya membuat persembahan lagi di auditorium pada masa akan datang,” katanya.

Apapun, persembahan Siti pada malam itu memang tidak menghampakan penonton yang membanjiri auditorium sejak awal lagi.

Ternyata, repertoire lagu yang disampaikan yang juga dipetik daripada bingkisan album terbarunya, Hadiah Dari Hati memenuhi cita rasa peminatnya terutama ahli kelab peminatnya, Siti Zone yang membanjiri auditorium pada malam itu.

Siti membuka tirai persembahan dengan lagu Destinasi Cinta, sekali gus turut menceritakan kerjaya nyanyiannya juga bermula di RTM, selepas menjuarai juara Bintang Hiburan Minggu Ini (HMI) 1995.

Lagu Mulanya Cinta turut mengingatkannya ketika beraksi dalam pementasan Teater Muzikal P Ramlee di mana dia berlakon memegang watak Azizah dalam muzikal berkenaan.

“Saya tidak pernah berlakon dan ia pengalaman cukup manis dalam hidup saya.

“Saya juga masih teringat babak dalam teater muzikal P Ramlee itu. Saya percaya, peminat dapat merasakan detik indah itu menerusi lagu yang disampaikan.

“Ia membuktikan kasih sayang saya dan peminat tetap utuh sejak dulu,” katanya.

Bagi Siti, kejayaan yang dikecapinya hari ini tidak bermakna tanpa sokongan peminat setia yang tidak pernah jemu memberi sokongan dari belakang.

Justeru, tidak hairanlah, dia menjemput beberapa peminatnya untuk sama-sama menari dengannya di pentas menerusi persembahan secara medley, dua lagu lama, Tunggu Sekejap dan Sejakku Bertemu Padamu.

Dalam pada itu, gandingan Siti dan pengacara popular Aznil Nawawi benar-benar serasi dan menyemarakkan suasana pada malam itu.

Justeru, ia turut menafikan suara sumbang yang mengatakan kemunculan Aznil pada malam itu mengaburi persembahan Siti.

Apa yang penting, gandingan Siti dan Aznil memang serasi terutama ketika berduet lagu Horey Horey dipopularkan Allahyarham Sudirman Hj Arshad yang juga idola Siti sendiri.

Sesungguhnya, Siti tetap diva pada malam itu dan ia diakui Aznil yang mengatakan dia takut untuk menyanyi di hadapan penyanyi popular berkenaan.

Aznil meneruskan persembahan dengan Aku Cinta Padamu (lagu Siti) dan Professor Klon yang juga lagu tema filem Cicak Man.

Sekalipun sudah berstatus Datuk, isteri kepada ahli perniagaan Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa ini tetap merendah diri seperti dulu dan lebih selesa dipanggil Siti saja.

Ia dapat dilihat ketika dia meminta artis undangannya, pengacara dan pelawak Shamsul Ghau Ghau, Louisa Chong dan Aznil memanggilnya Siti saja sepanjang menjayakan sketsa bersama mereka.

Pada masa sama, penyanyi ini turut menyelitkan tip berguna buat mereka yang ingin menjadi anak seni sepertinya iaitu kejayaan tidak dapat dicapai tanpa disiplin, sabar dan berwawasan (visi).

“Saya suka mengakhiri persembahan dengan lagu rancak dan saya harap lagu inilah yang anda mahu,” katanya.

Lagu merdu lain yang disampaikan Siti pada malam itu, Biarlah Rahsia, Love You Inside And Out, Cintamu, Eslilin (lagu dari seberang yang pernah dimuatkan dalam album tradisionalnya sebelum ini), Melawan Kesepian dan Ku Mahu.

Selain itu, penampilan artis Siti Nurhaliza Productions (SNP), kumpulan lima anak muda berbakat yang menggelarkan diri mereka Coda turut menghiburkan penonton pada malam itu dengan dua lagu, Menanti Sebuah Jawapan dan lagu sendiri, Buai.

Selain itu, pemuzik yang mengiringi persembahan Siti pada malam itu ialah di bawah pimpinan Helen Yap.

sumber: harian metro online


Post a comment
Name: 
Email: 
URL: 
Comments: